Cahaya..Itulah perkataan yang cukup
sinonim dalam bagi menggambarkan keindahan Islam itu sendiri yang diibaratkan
sebagai cahaya penyuluh ke jalan yang benar.
Allah berfirman yang bermaksud :
"Allah Pelindung orang yang beriman.Dia mengeluarkan mereka daripada
kegelapan(kekafiran) kepada cahaya (iman)."(surah al-Baqarah 2:257).
Dalam bahasa Arab,cahaya disebut sebagai
al-Nur dan al-Daw'.Namun dari segi istilahnya mempunyai maksud yang
berlainan.Al-Nur merupakan membawa maksud cahaya yang menerangi manakala
al-Daw' pula bermaksud cahaya yang menerangi dan membekalkan haba (panas)
seperti cahaya lampu dan lilin.
Malah terdapat satu surah dalam al-Quran
yang dinamakan dengan cahaya iaitu surah Al-Nur.Dalam ayat ke-35,terdapat
keterangan bahawa apabila seseorang Muslim melaksanakan sesuatu berdasarkan
suruhan Allah,nescaya akan terpancar cahaya dalam dirinya dan akan keluar
daripada kegelapan kepada cahaya.
Cahaya juga sering dikaitkan dengan
ilmu.Cahaya ilmu mampu menghapuskan kegelapan perkara yang batil.Namun,perlu
diingati bahawa hati orang yang melakukan maksiat tidak sewenang-wenangnya
dimasuki cahaya ilmu.
Selain ilmu,terdapat banyak perkara
dalam Islam yang dikaitkan dengan cahaya,antaranya;solat,hidayah,keadaan orang
yang beriman,takwa dan sebagainya.
<..................................................>
Aneh tetapi menarik.Cahaya dan kegelapan
tidak mungkin wujud pada satu masa dan tempat yang sama.Cahaya dan kegelapan
bersifat saling berlawanan.
Namun,lebih aneh,antara cahaya dan kegelapan,masih
ada yang memilih kegelapan.Adakah kerana tidak nampak cahaya?Antara Islam dan
kufur,ada yang memilih kufur.Ada yang memilih untuk menjadi jahil berbanding
memenuhkan dada dengan ilmu.Lebih teruk,ada yang memperjuangkan perkara batil
berbanding sesuatu yang benar.
Ada cendekiawan yang mengatakan bahawa
kegelapan itu tidak wujud,yang wujud hanyalah cahaya.Apa hujahnya?Hujahnya
mudah,kegelapan hanya akan wujud apabila cahaya tiada.Ini bermakna jahil hanya
akan wujud jika ilmu tiada.Sedangkan sudah diketahui bahwa ilmu itu cahaya.
Berada dalam kegelapan dan menunggu
sinar cahaya datang menerangi tidak mungkin mengundang sebarang perubahan.Biar
berada dalam apa jua kegelapan sekalipun,dalam diri seorang manusia itu perlu
berusaha untuk mencari cahaya.Begitu juga kejahilan dalam ilmu,maka carilah
ilmu sebagai kekuatan diri.Konsep yang utama,taubat nasuha dan berusaha.
Pintalah cahaya daripada Allah s.w.t.
kerana hanya Dia yang memberi cahaya.Allah berfirman yang
bermaksud:"Cahaya di atas cahaya(berlapis-lapis),Allah membimbing kepada
cahaya-Nya sesiapa yang dikehendaki."(Surah al-Nur 24:35)

No comments:
Post a Comment